Anda mungkin sering menghadapi masalah untuk menabung setiap bulan kerana gagal mengawal nafsu untuk berbelanja bila tiba hari gaji. Walaupun anda tahu kepentingannya tetapi sikap yang boros membuatkan rancangan untuk menabung tergendala. Bagaimana pun berikut ada cara mudah untuk anda melakukannya. Selamat mencuba!


1. Catatkan trend menabung

Anda tidak perlu kaya raya untuk menabung. Sebenarnya menabung itu sangat mudah, asalkan perbelanjaan anda lebih kecil daripada pendapatan. Sebelum anda memutuskan untuk berjimat perbelanjaan tertentu, anda harus tahu trend perbelanjaan anda setiap bulan.

Oleh itu, mulai bulan hadapan, catat perbelanjaan harian, mingguan dan bulanan. Gunakan buku kecil yang mudah di bawa ke mana-mana. Secara tidak langsung anda dapat melihat trend perbelanjaan anda setiap hari.

Sisihkan wang di awal bulan, cara ini anda dapat menyimpan lebih banyak wang. Tentukan tarikh untuk anda menabung setiap bulan dan patuhi tarikh itu agar anda tidak tersasar. Gunakan kaedah potongan berjadual agar anda lebih berdisiplin.


2. Bayar semua hutang

Selesaikan semua jenis hutang setiap bulan seperti ansuran kereta, rumah dan sebagainya. Jika anda ada hutang kad kredit, cuba selesaikannya secepat mungkin. Jangan hanya membayar minimum sahaja kerana ia menggalakkan lagi peningkatan faedah setiap bulan.

Jika hutang telah dilunaskan, lebih mudah untuk merancang tabungan setiap bulan. Kemudian apabila kebiasaan menabung anda sudah berjalan dengan agak baik, maka mulalah untuk tetap berusaha menabung secara konsisten setiap bulan. Apabila berjaya mendisiplinkan diri untuk menabung, selanjutnya motivasi diri anda untuk meningkatkan nilai jumlah tabungan untuk setiap bulan.

Banyak motivasi yang dapat digunakan dalam hal ini, misalnya seperti persediaan untuk bercuti, ingin membeli barang kemas dan sebagainya. Namun masih banyak jenis motivasi lain yang boleh dijadikan 'semangat' untuk anda terus menambah tabungan.

Bahagikan tabungan anda kepada pecahan tertentu seperti wang tabungan yang boleh 'disentuh' dan wang tabungan 'beku' iaitu wang yang tidak boleh disentuh. Ia bagi mengelakkan anda daripada menghabiskan wang tabungan yang telah disimpan sekian lama. Jika wang tabungan tidak dibuat pecahan sedemikian, tidak mustahil ia akan habis begitu sahaja. Maka akan sia-sialah usaha anda selama ini untuk menabung.


3. Simpan wang bonus

Jika anda mendapat bonus, asingkan secepat mungkin jumlah wang yang ingin anda simpan. Bukan tidak boleh berbelanja tetapi jadikan amalan agar segera mengasingkan wang bonus yang diperoleh supaya ia tidak habis tanpa anda sedari.

Tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang gagal menguruskan kewangan mereka terutama ketika mendapat bonus sehingga ada yang langsung tidak menyimpan walau sedikit pun. Jangan begitu, didik dan tanamkan dalam diri anda untuk menyimpan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada wang bonus yang anda peroleh. Jika anda menyimpan lebih banyak, ia lebih baik. Bukan untuk orang lain pun, untuk diri anda juga.


4. Buka akaun bank tanpa kad

Seelok-eloknya buka akaun bank lain bagi mengumpul wang simpanan anda setiap bulan. Jangan campurkan wang simpanan anda dengan akaun bank gaji anda kerana ia tidak 'menampakkan' wang yang anda simpan.

Lebih baik wang simpanan anda ini disimpan di dalam akaun yang berasingan kerana cara itu, wang tabungan akan lebih terpelihara selain mudah untuk anda memeriksa jumlah wang yang telah anda simpan.


5. Biasakan diri berjimat cermat

Amalan menabung sebenarnya memerlukan kekuatan pada diri anda sendiri. Jika anda tidak kuat menepis dugaan-dugaan untuk berbelanja nescaya niat untuk menabung akan terkubur begitu sahaja.

Oleh itu, apa yang boleh anda lakukan ialah sentiasa sematkan dalam hati anda untuk terus menabung demi masa depan. Kita tidak tahu bagaimana masa hadapan kita nanti. Mungkin ketika ini hidup kita dilimpahi dengan kemewahan. Oleh itu, jangan sesekali anda leka kerana kealpaan untuk menabung akan menyebabkan anda merana apabila ditimpa musibah. Kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan...

sumber dari majalah mingguan wanita nov `10
0 Responses

Post a Comment